4,226 KIR DUN Lingga Yang Terkesan Akan Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

JUMAAT, 11 JUN 2021

SRI AMAN: Seramai 4,226 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan mendapat Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, bekalan makanan tersebut menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak terhadap bebanan rakyat pada masa sekarang yang terkesan untuk  memerangi wabak COVID-19.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari kerana prihatin di saat rakyat pada masa sekarang mengalami keadaan yang sukar untuk memerangi wabak COVID-19 namun kerajaan Sarawak terus membantu dengan memberi bakul makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau barang keperluan bantuan tersebut dan melakukan upacara simbolik penghantaran bakul makanan di Dewan Seri Lemanak, Stawang, Sri Aman pada Jumaat.

Sebelum ini, pengagihan juga telah selesai diedarkan di Lingga, Maludam, Seduku dan Ladong manakala bagi kawasan Lemanak, Stumbin, Gran dan Bijat akan mula diedarkan pada Sabtu.

Dalam pada itu, ADUN Lingga itu turut berkesempatan menasihati rakyat khususnya di DUN Lingga untuk terus mematuhi garis panduan SOP serta tidak takut untuk mengambil vaksin.

Sementara itu, salah seorang penduduk Kampung Hulu, Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari yang menerima bantuan bekalan makanan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri atas sumbangan yang telah diberikan kepada rakyat.

“Selaku penduduk Lingga, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sumbangan bakul makanan terutamanya Ketua Menteri dan saya ingin mengucapkan  terima kasih kepada ADUN Lingga kerana dengan adanya sumbangan ini, boleh meringankan beban kepad penduduk di kawasan DUN Lingga,” katanya.-EDISI UKAS

Share
0