4,300 KIR DUN Layar Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

JUMAAT, 11 JUN 2021

BETONG: Seramai 4,300 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar akan menerima manfaat daripada Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu, pengagihan bantuan telah bermula pada 8 Jun lepas.

Bercakap semasa menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan tersebut pada Jumaat, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja penyediaan dan pengagihan.

Beliau turut mengingatkan penduduk di Betong untuk mendaftar dalam usaha memastikan 80 peratus atau kira-kira 92,000 penduduk mendapat vaksin COVID-19.

Pada program berasingan, Gerald Rentap telah menyampaikan cek Peruntukan Khas Perdana Menteri berjumlah RM260,000 kepada 26 penerima dalam majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Layar.

Dalam pada itu, para penerima yang hadir merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas peruntukan tersebut yang penting untuk meneruskan aktiviti dan juga keperluan lain terutamanya semasa berdepan pandemik COVID-19.-EDISI UKAS