JUMAAT, 11 JUN 2021
KABONG: Kesemua 4,855 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong telah menerima Bantuan Bekalan Makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.
Simbolik penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kabong, Mohamad Rashdan Hazemi bagi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir pada Jumaat.
Bantuan ini telah mula diagihkan pada Khamis kepada penduduk di 25 buah Kampung dan 50 buah rumah panjang di DUN Kabong.
Ia melibatkan beberapa zon agihan seperti zon tengah iaitu di Kampung Gerigat, Dewan Terbuka Masjid Tok Amal Nyabor, Balai Raya Taib Mahmud Sessang dan Balai Perpaduan Kampung Emplam.
Manakala bantuan kepada beberapa buah rumah panjang seliaan Pejabat Daerah KabonG pula dipusatkan di Dataran Mohd Chee Kadir, SK Sungai Pasir, Kabong.
Selain itu, untuk di rumah panjang seliaan Pejabat Daerah Kecil Roban, bantuan dipusatkan di Dewan Masyarakat Roban. -EDISI UKAS