Lawas Bazaar, Lawas Di Limbang Diisytihar Kawasan Baharu Wabak Rabies

JUMAAT, 11 JUN 2021

KUCHING: Satu lagi kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan baharu wabak Rabies iaitu Lawas Bazaar, Lawas di Limbang.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memberitahu, pengisytiharan itu berikutan dua kes anjing positif rabies di kawasan berkenaan.

“Memandangkan kawasan ini berada di luar 10 kilometer radius dari Kawasan yang telah diisytiharkan, maka kawasan ini merupakan kawasan baru wabak rabies yang ke-71.

“Setakat ini, sebanyak 71 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu Kuching (7), Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (3), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (7) dan Limbang (2),” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumkan, sebanyak 205,898 suntikan vaksinasi anti-rabies telah disuntik oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan pihak JPVS akan meneruskan program pemvaksinan anti-rabies anjing percuma ini di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas berkata, pemilik anjing sekali lagi diingatkan supaya memastikan anjing mereka diberi suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun.

“Suntikan vaksin rabies boleh didapati dimana-mana Pejabat Veterinar Bahagian atau klinik Haiwan swasta.

Kegagalan berbuat demikian boleh disabit kesalahan dibawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

“Denda tidak melebihi RM2,500 dan anjing boleh di tangkap dan Targeted Removal sekiranya tanpa bukti pemvaksinan anti-rabies,”tegasnya.

Beliau menambah, membiarkan anjing lepas bebas akan menyebabkan anjing terdedah dengan virus rabies dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis daripada State Veterinary Authority merupakan kesalahan dibawah Seksyen 37, dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan.

“Pemilik haiwan kesayangan perlu memandulkan anjing atau kucing mereka untuk mengawal pembiakan haiwan tersebut dan elakkan haiwan peliharaan daripada bercampur dengan haiwan liar atapun ‘strays’,”ujarnya.

Tanda-tanda penyakit rabies pada haiwan adalah; perubahan sikap, agresif, menggigit dan mulut berbuih, sensitif terhadap sentuhan, air, cahaya dan suara, hilang selera makan atau minum, lesu, lumpuh dan akhirnya mati.

Haiwan yang menunjukkan tanda-tanda tersebut wajib dilaporkan segera kepada JPVS di talian +6082-628248 / +6082-610023 (Epidemiology & Surveillance Unit) / +6016-2557267 (Rabies WhatsApp/Message).

Mangsa yang digigit atau dicakar pula harus pergi ke hospital dengan segera bagi mendapat rawatan lanjut.-EDISI UKAS