JUMAAT, 11 JUN 2021
KUCHING: Lawatan rasmi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Kapit pada Khamis adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat, seorang individu menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa lawatan rasmi tersebut melanggar SOP dan perkara itu adalah tidak benar.
Justeru, kunjungan dan aktiviti dalam lawatan singkat yang dilakukan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari itu adalah mematuhi SOP dan telah dipersetujui oleh pihak JPBNS.
“Sebagai pemimpin rakyat yang bertanggungjawab, Ketua Menteri harus turun padang untuk mengukur kesediaan Bahagian Kapit untuk melaksanakan program vaksinasi, melihat dan menilai kemudahan perubatan tempatan, termasuk hospital tentera dan menyerahkan secara simbolik bungkusan bekalan makanan kepada rakyat melalui wakil rakyat di Kapit Town Square.
“Sebelum lawatan ke Kapit, Ketua Menteri telah mengunjungi bandar-bandar lain termasuk Miri, Sibu dan Bintulu untuk tujuan yang sama dan mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuching sebagai perhatian sebenar terhadap rakyat dan keadaan di lapangan,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan sama, bagi majlis yang diadakan di Kapit Town Square, kehadiran tetamu adalah terhad dan hanya berdasarkan jemputan sesuai dengan protokol SOP.
Dalam pada itu, penerima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang pada hari tersebut juga adalah terdiri daripada seorang wakil anggota Parlimen, enam anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat pemimpin masyarakat dari bahagian tersebut.
“Tetamu yang hadir ke majlis itu juga menjalani pemeriksaan suhu dan pengimbasan yang ketat dan dipantau oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
“Turut hadir dalam majlis tersebut adalah anggota jawatankuasa penganjur, anggota keselamatan serta pihak media dan tiada orang awam yang terlibat.
“Malah, rombongan Ketua Menteri melewatkan makan tengah hari yang disiapkan oleh jawatankuasa penganjur untuk mematuhi SOP,” jelas kenyataan itu lagi.-EDISI UKAS