Pemberian Vaksin Daerah Simunjan Akan Dijalankan Serentak Pada 14 Jun 2021

JUMAAT, 11 JUN 2021

SIMUNJAN: Pemberian vaksin di kawasan Daerah Simunjan akan dijalankan secara serentak bermula 14 Jun ini di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di RTC Munggu Lalang, Dewan Mesra Simunjan dan Dewan Pembangunan Sebuyau.

Menurut Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap, pemberian vaksin itu adalah untuk seluruh penduduk di kawasan Simunjan yang telah berdaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual menerusi Pejabat Daerah Simunjan.

“Jadi, saya ingin menyaran dan menyeru seluruh warga Simunjan yang belum berdaftar untuk pengambilan vaksin agar segera berbuat demikian. 

“Kita di Pejabat Daerah dengan kerjasama Majlis Daerah Simunjan akan mengadakan satu “roadshow” yang melibatkan lawatan-lawatan ke kawasan kampung untuk menambah jumlah pendaftaran vaksin bagi kawasan Simunjan,”katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin di RTC Munggu Lalang pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memberitahu, tinjauan ke PPV tersebut bersama pihak Klinik Kesihatan Munggu Lalang adalah bagi meninjau dan memastikan keadaan RTC Munggu Lalang siap serta sempurna agar perjalanan pemberian vaksin di kawasan Ulu Simunjan ini dapat berlangsung seperti yang dirancangkan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Munggu Lalang, Dr. Bellarmine Intai juga memaklumkan bahawa pihaknya juga akan mengadakan program pemberian vaksin pada 14 Jun depan sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Senarai nama penduduk Ulu Simunjan yang mendapat suntikan vaksin akan diedarkan dalam masa terdekat, manakala penduduk kampung yang tidak tersenarai dalam pemberian vaksin tersebut, boleh datang ke PPV di RTC Munggu Lalang pada bila-bila masa untuk mendaftar,”katanya.

Beliau juga turut menasihati kepada semua penerima vaksin agar mematuhi tarikh dan masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di pusat pemberian vaksin.-EDISI UKAS

Share

add comment