Pembukaan PPV Industri Percepatkan Program Imunisasi COVID-19 Pekerja Sektor Industri Samalaju

JUMAAT, 11 JUN 2021

BINTULU: Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Indusri akan dibuka di kilang peleburan aluminium Press Metal Bintulu Sdn Bhd bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 di Bahagian Bintulu.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung berkata, PPV  Industri ini adalah khusus bagi pekerja sektor industri yang beroperasi di kawasan Perindustrian Samalaju.

“Pemberian vaksin akan menyasarkan kepada kira-kira 6,000 pekerja syarikat Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

“Ini merupakan inisiatif yang ditunjukkan syarikat terbabit yang mahu turut serta dalam Program Imunisasi COVID-19 Bahagian Bintulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Industri Samalaju pada Khamis. 

Tambah Dr. Melvin lagi, pihaknya sedang menunggu keputusan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak bagi pembukaan PPV Industri ini. 

“Kita telah mencadangkan kepada CITF Sarawak untuk beroperasi pada masa yang terdekat dan mencadangkan pembukaannya pada minggu ini.

“Kita masih menunggu keputusan CITF Sarawak untuk menentukan tarikh operasi PPV Industri ini,” tambahnya.

Jelasnya lagi, operasi PPV Industri ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Perbadanan Perlindungan Kesihatan (Protect Health Corporation) yang mana tenaga kerja adalah terdiri daripada panel doktor syarikat industri terlibat.

Katanya lagi, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu hanya membantu memantau dari segi pelaporan dan menyelesaikan masalah berkaitan vaksinasi sekiranya diperlukan.

Dalam perkembangan sama, Dr Melvin memberitahu sebuah lagi PPV baharu akan diaktifkan di Bahagian Bintulu iaitu di Dinner World Bintulu sekali gus menjadi jumlah PPV sebanyak empat selain PPV UPMKB, PPV Dewan Sukan Tatau dan PPV Balai Raya Sebauh. 

Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Pengarah Hospital Dr Sivashunmugam Sangaran dan Pengurus Sumber Manusida Press Metal Low Kwong Fei. -EDISI UKAS

Share
0