JUMAAT, 11 JUN 2021
BARIO: Penduduk di kawasan pedalaman termasuk di Tanah Tinggi Bario tidak ketinggalan dalam menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala penghantaran bantuan makanan ke kawasan Bario menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.
“Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang ke kawasan Tanah Tinggi Bario telah sampai pada malam Rabu.
“Penghantaranya telah dilakukan Pemuda PBB DUN Mulu dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri ke Bario.
“Bantuan makanan ini melibatkan 10 buah kampung iaitu Pa’ Ukat 52 bungkus, Pa’ Tik Kubaan 28 bungkus, Pa’ Remapuh A 29 bungkus, Pa’ Umor 26 bungkus, Pa’ Remapuh B 22 bungkus, Pa’ Derung 46 bungkus, Arur Layun 26 bungkus, Pa’ Lungan 27 bungkus, Bario Asal 38 bungkus dan Padang Pasir 30 bungkus,” katanya pada Khamis.
Penghantaran makanan ke Tanah Tinggi Bario mengambil masa lebih kurang 12 jam dengan menggunakan jalan balak.
Ketua Kaum Celena Sakai dari Pa’Derung yang mewakili penduduk menerima bantuan makanan tersebut.
Sementara itu, penghantaran peringkat kedua bantuan makanan sampai pada Khamis untuk diedarkan kepada beberapa kampung di dalam kawasan Bario. -EDISI UKAS