YARM Sarawak Lancar Kempen #KAMEKSIKMOKRASUAH, Sasar 10,000 Ikrar

JUMAAT, 11 JUN 2021

BINTULU: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Sarawak telah melancarkan satu kempen Ikrar #KAMEKSIKMOKRASUAH satu gerakan kesedaran untuk rakyat di Sarawak.

Pengerusinya Awang Mohammad Putra Awang Sopeian dalam kenyataan media pada Khamis berkata, kempen ini merupakan satu gerakan kesedaran untuk rakyat di Sarawak menyatakan sokongan dan ikrar mereka menolak perbuatan rasuah dalam hidup mereka.

“Sebanyak tiga objektif utama dalam kempen #KAMEKSIKMOKRASUAH ini antaranya memberi kesedaran kepada rakyat Sarawak mengenai gejala rasuah, merekodkan ikrar dan sokongan rakyat Sarawak bersama menolak rasuah dan memberi amaran kepada pelaku rasuah bahawa rakyat Sarawak tidak akan berkompromi dalam gelaja rasuah,” katanya. 

Kempen ini berlangsung selama 6 bulan bermula 9 Jun 2021 hingga 9 Disember 2021 bersempena dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Disember setiap tahun

Ianya diadakan secara virtual dengan hanya mengisi beberapa maklumat dan menyatakan ikrar #KAMEKSIKMOKRASUAH melalui Google Form yang telah disediakan.

Tambah Awang Mohammad Putra, pihaknya mensasarkan sebanyak 10,000 ikrar pada penghujung tempoh kempen ini kelak. 

YARM Sarawak juga mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pendidikan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) di negeri ini untuk sama-sama membawa kempen ini di dalam organisasi mereka. 

YARM Sarawak menyeru semua lapisan masyarakat di negeri ini untuk memberi sokongan terhadap kempen ini dalam misi membenci rasuah di Sarawak. -EDISI UKAS

Share
0