Agihan Bantuan Makanan Di Limbang Siap Sepenuhnya Tidak Lama Lagi

SABTU, 12 JUN 2021

LIMBANG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi jaminan agihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang untuk Bahagian Limbang akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

Katanya, kelewatan agihan bantuan itu berpunca dari kelewatan pembekal menghantar bekalan makanan.

“Kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dan Batu Danau, insyaallah akan dapat kita selesaikan dalam beberapa hari lagi.

“Kelambatan ini berpunca dari bekalan untuk bahan-bahan makanan khususnya gula dan beras yang lambat sampai,” katanya selepas merasmikan simbolik penutupan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di Dewan Bunga Raya, Limbang pada Sabtu.

Menurut Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II itu lagi, seramai 9,710 Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN Bukit Kota dan 4882 di DUN Batu Danau layak untuk menerima bantuan.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa KIR layak namun tercicir untuk mengemukakan nama kepada Pejabat Daerah, Pejabat Residen atau Pusat Khidmat bagi membolehkan bantuan itu disalurkan kepada mereka.

“Jika ada yang layak tetapi tertinggal, kita akan cuba usahakan supaya mereka yang benar-benar memerlukan akan mendapat agihan bantuan makanan ini.” – EDISI UKAS

Share
0