Aktiviti Menderma Darah Dianggap Perkhidmatan Penting Dalam Pelaksanaan PKP

SABTU, 12 JUN 2021

MIRI: Aktiviti menderma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia anjuran bersama Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Cabang Miri telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. 

Menteri Pengangkutan yang juga Naib Pengerursi Pertama PBSM Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, seramai 134 orang  telah mendaftar dan daripada jumlah itu108 orang berjaya menderma darah.

“Pengumpulan darah di Hospital Miri pada tahun 2020 menurun sebanyak 7,101 atau 19 peratus berbanding tahun 2019 sebanyak 8,734 orang. 

“Hospital Miri memerlukan kira-kira 20 hingga 30 pint darah setiap hari terutama pesakit Thalassemia yang bergantung pada transfusi darah setiap 2 hingga 4 minggu sekali sepanjang hayatnya, pendarahan selepas bersalin, barah, kes kemalangan dan lain-lain.

“WHO juga menyatakan bahawa penderma darah tidak akan meningkatkan risiko dijangkiti COVID-19,” katanya selepas merasmikan Kempen Derma Darah yang diadakan di Dewan Latihan Bulan Sabit Merah Miri pada Sabtu.

Kempen derma darah ini diadakan bersempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diadakan pada 14 Jun setiap tahun dengan tema pada tahun 2021 “Celebrating the Gift of Blood”.

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu orang ramai yang ingin menderma darah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan kerana ia dianggap sebagai perkhidmatan penting.

“Penderma darah jangan risau. Mereka boleh datang di Hospital Miri atau sebarang aktiviti derma darah bergerak untuk menderma darah.

“Kami juga mendorong generasi muda untuk datang menderma dan menjadi penderma darah tetap,” ujarnya. 

Sementara itu, pengerusi penganjur Michelle Choo mengucapkan terima kasih kepada semua penaja dan para penderma yang sudi tampil menyokong aktiviti derma darah.

Antara penaja dan penderma kempen derma darah ini ialah PBSM Malaysia Cabang Miri, Tabung Darah Hospital Miri, Hospital Miri, Shun Shen Lee Trading Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad, Regal Marketing and Trading Sdn Bhd (Indocafe) ,The Twin Brothers Patisserie dan Majlis Bandaraya Miri (MBM)l.

Manakala, Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon menjelaskan pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti derma darah sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab khidmat sosial korporat (CSR) NSJA dan merupakan kali kedua  diadakan pada tahun ini.

Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk membantu meningkatkan Tabung Darah Hospital Miri khususnya dalam tempoh PKP.

“Hospital Miri memerlukan bekalan darah bagi menampung keperluan yang kebiasaannya amat diperlukan untuk mengedalikan para pesakit serta  kes kes kecemasan.

“Keperluan darah sentiasa diperlukan setiap minggu dan bulan. Oleh itu penderma yang konsisten diperlukan untuk menampung keperluan darah.

“Masyarakat juga digalakan untuk menderma darah yang dianggap sebagai amalan mulia kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain, satu pain darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa,” katanya. 

Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu dan Pengerursi NSJA Andy Jong. -EDISI UKAS

Share
0