Cadangan Wujudkan 12 PPV Tambahan di Lawas Akan Dipertimbang

JUMAAT, 11 JUN 2021

LAWAS: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan Hospital Lawas bagi mewujudkan 12 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan di Daerah Lawas.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pihaknya bersama beberapa agensi akan memperincikan cadangan tersebut kerana ia sangat penting bagi mempercepat dan memudahkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat di Lawas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu, PPV yang akan diwujudkan itu akan bersifat statik.

“Ini akan diperincikan lagi oleh pihak hospital bersama dengan Jawatankuasa Bencana Bahagian yang dipengerusikan oleh Residen dan juga Jawatankusa Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah supaya memecahkan mana-mana tempat yang perlu kita tambah supaya ianya memudahkan masyarakat kita mendapat vaksin,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan taklimat di Majlis Daerah Lawas pada Jumaat.

Menurutnya, langkah tersebut juga akan membantu mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada ketika ini selain melicinkan proses vaksinasi di situ.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan memberitahu, pemberian vaksin secara bergerak (mobile) juga akan digunakan bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman di Lawas tidak ketinggalan dari menerima suntikan vaksin.

“Saya juga telah meminta supaya diwujudkan pasukan mobile untuk mengenal pasti kampung-kampung yang terasing dan pergi ke tempat itu supaya mereka tidak ketinggalan dalam program vaksinasi.

“Kita juga akan pastikan jenis pengangkutan yang sesuai untuk pergi ke situ,” katanya.

Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah menyerahkan sumbangan sebanyak 10 unit komputer riba kepada PPV Lawas, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Lawas.

Sebelumnya, beliau meninjau PPV Lawas bersama dengan Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong.

Datuk Henry turut menyumbang sebanyak dua unit kipas untuk kegunaan di PPV yang sama. – EDISI UKAS

Share
0