‘Dry Run’ PPV Industri, Pastikan Setiap Sukarelawan Tahu Tugas Dan Peranan Masing-Masing

SABTU, 12 JUN 2021

BINTULU: Beberapa sukarelawan yang akan bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Press Metal diberikan latihan bagi mempersiapkan keadaan sebenar semasa proses pemberian vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata, ini penting bagi memastikan setiap sukarelawan mengetahui tugas dan peranan masing-masing dan melancarkan program vaksinasi di PPV Industri nanti. 

“Pada hari ini, semasa dry run kita sebenarnya membawa personel daripada Press Metal untuk mereka melaksanakan praktikal di PPV ini.

“Ini membolehkan mereka melakukan tugasan dengan lancar semasa program vaksin yang sebenarnya di PPV Press Metal yang akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan ‘dry run’ PPV di Dinner World, Bintulu pada Jumaat. 

Jack Aman turut menasihatkan masyarakat yang akan menerima vaksin COVID-19 supaya datang mengikut masa yang telah ditetapkan bagi mengelak keadaan yang terlampau sesak di PPV itu. 

Dalam perkembangan lain, Jack Aman yang juga Residen Bahagian Bintulu turut mengulas mengenai aliran trafik di Bintulu yang sesak ketika ini. 

“Apa yang kita nampak kemungkinan pemeriksaan yang cukup rapi sebenarnya mengakibatkan kesesakan di beberapa tempat di atas jalan raya. 

“Ini kerana Polis DI Raja Malaysia (PDRM) menjalankan pemeriksaan yang ketat dalam menjalankan sekatan jalan raya,” ujarnya. 

Turut sama hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung dan ASP Wilson Denis Ugap. -EDISI UKAS

Share
0