Ketua-Ketua Jabatan Negeri Diberi Penerangan, Ambil Maklum Usaha Kerajaan Sepanjang Pandemik COVID-19

JUMAAT, 11 JUN 2021

KUCHING : Unit Sumber Manusia Negeri (USMN) pada Jumaat telah mengadakan sebuah program melalui aplikasi Zoom, bagi memberi penerangan dan informasi lanjut kepada Ketua-Ketua Jabatan Negeri mengenai usaha kerajaan dalam mendepani pandemik COVID-19.

Program yang diadakan selama lebih kurang 2 jam itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Penyampaian Perkhidmatan dan Prestasi), Datu Dr Sabariah Putit, yang mana menekankan bahawa segala penerangan yang dibincangkan dalam setiap sesi perlu diambil maklum dan dihebahkan kepada pegawai serta kakitangan di agensi masing-masing.

Beliau dalam sesi pertama telah menerangkan mengenai pengambilan sukarelawan kesihatan yang diperlukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), antaranya di kalangan Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Perubatan termasuk Jururawat untuk membantu memudahkan urusan petugas sedia ada sekaligus mempercepatkan proses pemberian vaksin.

Diikuti perincian berkaitan jenis-jenis vaksin COVID-19 dan kepentingan pengambilannya yang perlu difahami oleh masyarakat supaya tiada timbulnya keraguan untuk mendapatkan suntikan, oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Azizah Azhar.

Selain itu, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Micheal Roni Langgong, mengulas lanjut mengenai tugas dan tanggungjawab setiap agensi-agensi kerajaan merangkumi Kementerian, Jabatan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri serta Pejabat Residen dan Daerah dalam menyampaikan perkhidmatan awam.

Manakala berikutnya, penerangan SOP berkaitan keagamaan oleh Ketua Bahagian Kemajuan Institusi Masjid Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalipah Juli bersama Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Richard Lon, yang turut memfokuskan mengenai pembukaan rumah ibadat dan upacara pengkebumian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk makluman umum. -EDISI UKAS