Lebih 100 Pemandu Dan Kelindan Di Bahagian Miri Terima Suntikan Vaksin COVID-19

SABTU, 12 JUN 2021

MIRI: Lebih 100 orang pemandu dan kelindan lori dari syarikat pengangkutan dan logistik di Miri menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin ini susulan daripada arahan daripada Kerajaan Brunei Darussalam yang mewajibkan mereka yang keluar dan masuk melalui negara Brunei menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Pada hari ini (Sabtu) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Permaisuri merekodkan lebih 100 orang pemandu-pemandu dan kelindan-kelindan lori hadir di sini untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Ini adalah susulan makluman dari Negara Brunei Darussalam berhubung Syarat Vaksinasi Mandatori Bagi Pejalan-pejalan Keluar Negeri (Outbound Travellers) yang dikeluarkan pada 1 Jun 2021,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya di Miri pada Sabtu.

Terdahulu, beliau telah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada pemandu daripada syarikat logistik dan pengangkutan di Bahagian Miri yang ingin melakukan perjalanan memasuki atau merentasi Negara Brunei Darussalam sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Limbang dan Lawas.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memberitahu penghantaran kali kedua vaksin COVID-19 jenis Sinovac di Miri akan adakan pada 15 Jun ini.

“Hasil daripada mesyuarat zoom bersama dengan COVID-19 Immunization Taskforce (CITF) Sarawak pada pagi tadi, penghantaran kedua Vaksin COVID-19 jenis Sinovac dijangka akan tiba di Miri pada 15 Jun ini.

“Selepas ini akan ada lebih banyak lagi penghantaran vaksin  COVID-19 pada setiap minggu,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0