Pembukaan PPV Industri, Pemilik Syarikat Dan Sektor Industri Diminta Beri Kerjasama

SABTU, 12 JUN 2021

BINTULU: Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri akan diaktifkan di kilang peleburan aluminium Press Metal Bintulu Sdn Bhd bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 di Bahagian Bintulu. 

“Saya menggesa semua syarikat dan sektor industri di kawasan Perindustrian Samalaju memberikan kerjasama dengan menyediakan maklumat tepat berkaitan dengan kakitangan mereka.

“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan cadangan dan aktiviti yang boleh dilaksanakan di kawasan ini bagi mengurangkan penularan kes positif COVID-19 di kalangan pekerja,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Industri Samalaju pada Rabu.

Terdahulu, beliau telah mengadakan tinjauan ke tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Samalaju yang menempatkan pekerja yang mempunyai kes positif COVID-19. 

Jelas lagi, ini penting bagi memastikan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Bahagian Bintulu khususnya pemberian vaksin di kalangan pekerja industri.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin akan menyasarkan kepada kira-kira 6,000 pekerja Syarikat Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Pada masa yang sama, Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu berterusan menggesa orang ramai untuk patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan kerajaan.

Sambil menyifatkan situasi COVID-19 di Bahagian Bintulu agak ‘memeningkan’, beliau mahu masyarakat di Bintulu untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan diri dan keluarga agar tidak terdedah kepada jangkitan wabak COVID-19. 

“Saya memohon kepada tuai rumah supaya menasihatkan penduduk yang berada di luar kawasan supaya jangan balik ke rumah panjang buat sementara waktu. Tunggu sehingga kes COVID-19 ini selesai dahulu.

“Saya tidak mahu melihat ada lagi rumah panjang yang dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan.

“Marilah tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bantu untuk pastikan keselamatan diri, keluarga dan orang lain daripada penularan wabak pandemik COVID-19,” ujarnya. 

Pada masa yang sama, Dato Seri Tiong menggesa penduduk rumah panjang mengetatkan laluan keluar masuk ke kawasan rumah panjang masing-masing bagi membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0