SABTU, 12 JUN 2021
SARIKEI: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk masyarakat luar bandar daerah Sarikei mula digerakkan dan Dewan Masyarakat Kampung Selalang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).
Program pemberian vaksin dijalankan selama 2 hari bermula 12 hingga 13 Jun 2021 yang mensasarkan 1,000 orang penerima.
Pada Sabtu, pemberian vaksin melibatkan kawasan Kampung Bunga Tanjung, Kampung Masjid Baru dan Kampung Hilir Selalang.
Manakala untuk kawasan Kerubong meliputi 10 buah rumah panjang iaitu Rumah Manggang, Rumah Nugu, Rumah Jawa, Rumah Meringai, Rumah Lidang, Rumah Tawie, Rumah Engkang, Rumah Puin, Rumah Moses dan Rumah Anggey.
Program diteruskan untuk tujuh buah rumah panjang di Rumah Mudam, Rumah Usin, Rumah Unding, Rumah Lenja, Rumah Plada, Rumah Selaka dan Rumah Mariam bagi kawasan Kerapa pada hari seterusnya.
Proses pemberian vaksin dikhaskan kepada individu yang sudah berdaftar melalui applikasi My-Sejahtera dan bagi yang belum mendaftar boleh hadir untuk menerima suntikan dan akan terus didaftarkan khususnya yang tinggal di kawasan Selalang,Kerapa dan Kerubong.
Program pemberian vaksin bergerak ini dijangka akan dapat mempercepatkan serta memudahkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin.-EDISI UKAS