PPV Siburan Dapat Sambutan, Jumlah Dijangka Meningkat Minggu Depan

SABTU, 12 JUN 2021

SIBURAN: Dewan Masyarakat Siburan yang merupakan salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bahagian Serian telah mendapat sambutan sangat menggalakan daripada penerima vaksin COVID-19 pada Sabtu. 

Sebanyak 620 penerima vaksin COVID-19 telah hadir berbanding sasaran awal 500 orang. 

Sambutan menggalakkan ini berikutan pelaksanaan sistem hibrid bagi pendaftaran vaksinasi di kawasan luar bandar sebagai salah satu langkah untuk mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 di Sarawak. 

Menerusi pendekatan hibrid itu, selain pendaftaran dengan aplikasi MySejahtera, kaedah manual turut digunakan seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru-baru ini. 

Dijangkakan jumlah penerima vaksin COVID-19 di PPV Siburan akan meningkat disebabkan orang ramai kini mula sedar pentingnya mendapatkan suntikan vaksin bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

Menteri Muda Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr. Jerip Susil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik turut hadir bagi meninjau proses vaksinasi di PPV Siburan pada Sabtu. -EDISI UKAS