Program ‘Terima Kasih Frontliners’ UKAS Terima Penghargaan

SABTU, 12 JUN 2021

LIMBANG: Program ‘Terima Kasih Frontliners’ anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Limbang menerima penghargaan dari pelbagai pihak termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, inisiatif dilaksanakan oleh UKAS itu merupakan manifestasi penghargaan dari agensi kerajaan terhadap usaha gigih petugas barisan hadapan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UKAS yang telahpun berusaha memberi sedikit bantuan makanan untuk mereka sambil melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan.

“Terima kasih kepada semua barisan hadapan yang telah bekerja keras dalam usaha kita membendung atau menghapuskan pandemik Covid-19 ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyampaikan sumbangan UKAS kepada anggota polis yang berkawal di SJR Jalan Pandaruan dan SJR Jalan Kubu, di sini pada Sabtu.

Program itu tambah bermakna dengan kehadiran tiga wakil rakyat di Limbang iaitu ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengarah UKAS, Haji Samat Junai.

Dalam kunjungan itu, Datuk Amar Awang Tengah turut meluangkan masa berbual dengan anggota polis yang bertugas sambil meninjau keadaan di pondok kawalan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot ketika ditemuramah melahirkan rasa syukur atas sumbangan diberikan pihak UKAS kepada anggota polis.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada UKAS di atas bantuan makanan, keperluan kepada petugas-petugas saya di lapangan.

“Kami bertugas 24 jam, siang dan malam. Ini balasan kepada pengorbanan yang kami buat, dibalas oleh agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Jelajah ‘Terima Kasih Frontliners’ di Limbang adalah yang terakhir untuk zon utara selepas diadakan di Lawas pada Jumaat.

Program sama juga telah diadakan di Kuching, Miri dan Sibu sebelum ini. – EDISI UKAS

Share
0