Rujuk Kepada Pejabat Daerah, Pusat Khidmat Jika Nama Tercicir Dari Senarai Penerima Bantuan Makanan

JUMAAT, 11 JUN 2021

LAWAS: Mana-mana Ketua Isi Rumah (KIR) di Lawas yang layak namun tercicir nama dari menerima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang dinasihat untuk mengemukakan nama mereka kepada Pejabat Daerah atau Pusat Khidmat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ia bagi memastikan penduduk yang layak menerima bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Mana-mana yang tercicir nama boleh kemukakan nama mereka kepada Pejabat Daerah ataupun Pusat Khidmat kita.

“Insyaallah, kita akan cuba mengagihkan bantuan makanan ini supaya mereka yang benar-benar layak akan dapat dibantu,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan simbolik pelepasan penghantaran bantuan makanan tersebut di Perkarangan Hotel Sri Malaysia Lawas pada Jumaat.

Menurut Datuk Amar Awang Tengah, anggaran sebanyak 9000 KIR di DUN Bukit Sari dan kira-kira 6000 KIR di DUN Ba’ Kelalan layak untuk menerima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang.

Jelas beliau, proses agihan sedang dipercepatkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menambah Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM35.5 juta bagi menyediakan bantuan makanan di bawah inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

“Kerajaan Negeri melalui BKSS 6.0 telah memperuntukkan sejumlah RM35.5 juta untuk agihan makanan ini. Ia tidak termasuk untuk kos pengangkutan,” tambah ADUN Bukit Sari itu lagi.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada tiga pelajar B40 serta menyerahkan sumbangan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) kepada SK Trusan yang terjejas akibat banjir.

Turut disampaikan Kelulusan Bantuan Khas Mangsa Banjir kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Lawas merangkap Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok. – EDISI UKAS

Share
0