UKAS Hargai Jasa, Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan Di Lawas

JUMAAT, 11 JUN 2021

LAWAS: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) meneruskan program ‘Terima Kasih Frontliners’ di Lawas pada Jumaat sebagai tanda penghargaan kepada barisan petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban dalam melindungi rakyat dari wabak Covid-19.

Program kali ini cukup signifikan apabila ia turut disertai Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Pengarah UKAS, Haji Samat Junai.

Simbolik penyerahan sumbangan diadakan di Perkarangan Hotel Sri Malaysia Lawas untuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Rombongan kemudian bergerak untuk menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Trusan, SJR Marapok dan SJR Jalan Punang.

Ketika ditemuramah UKAS, Pengarah Hospital Lawas, Dr. Ahmad Syahir Sarji, merakamkan berterima kasih kepada UKAS kerana prihatin terhadap barisan petugas barisan hadapan.

Turut senada Pegawai RELA Daerah Lawas, Lusia A Jakaria yang menzahirkan penghargaan kepada UKAS serta agensi lain yang menghargai pengorbanan dilakukan oleh petugas barisan hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan IPD Lawas, Inspektor Ejan Abu berkata masyarakat di Lawas amat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Secara keseluruhan, kenderaan yang memasuki Lawas amat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Terima kasih kepada pihak UKAS kerana menghargai petugas barisan hadapan dengan memberikan sumbangan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah,” katanya.

Program di Lawas adalah yang keempat anjuran UKAS selepas di Kuching, Miri dan Sibu sebelum ini dan akan diteruskan di Limbang pada Sabtu. – EDISI UKAS

Share
0