AHAD, 13 JUN 2021
TATAU: Penduduk di kawasan pedalaman dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tatau tidak perlu turun ke Pekan Tatau bagi mengambil bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang.
Menurut wakil Pusat Khidmat DUN Kakus Eugene John Sikie, bantuan makanan ini akan dihantar ke tempat yang telah ditetapkan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta tuai rumah dan dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengagihkan bantuan makanan ini.
“Langkah ini juga adalah merupakan salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penularan COVID-19 dengan memastikan tidak terlalu ramai orang berkumpul dan mematuhi penjarakan fizikal.
“Saya membawa rakan-rakan dari Pusat Khidmat ADUN Kakus, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s), KMKK dan kompenan Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bersama turun padang mengagihkan bantuan ini kepada penduduk di kawasan DUN Kakus,” katanya semasa ditemui selepas mengagihkan bantuan makanan Sarawakku Sayang baru-baru ini.
Sebanyak 13 kawasan telah dihantar bantuan makanan ini antaranya Ulu Kakus, Entajum, Penyarai, Long Beyak, Sungai Arip, Sungai Tau, Sungai Bawang, Sungai Anak, Bukit Dinding, Begeri, Pengkalan Lobang dan Jalan Ladang 4 Lubok Bukut.
Bantuan telah dihantar dengan menggunakan 8 buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori yang turut disertai wakil dari Pusat Khidmat DUN Kakus bersama 20 orang sukarelawan yang terdiri dari KMKK, NGO dan kompenan GPS.
Dalam pada itu, Penghulu Lasit Bajieng ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kakus atas bantuan makanan yang diberikan ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan wakil rakyat DUN Kakus kerana telah mengatur bantuan untuk masyarakat di kawasan saya ini.
“Begitu juga kepada semua kakitangan yang turut sama menghantar bantuan makanan pada hari ini,” katanya.
Bagi Kaunselor SRDC Minggu Angga yang merupakan sukarelawan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melahirkan rasa gembira kerana dapat membantu Kerajaan Sarawak dan masyarakat dalam mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan pedalaman ini.
“Sebagai orang awam dan sukarelawan, saya berasa gembira kerana dapat membantu Kerajaan Sarawak dalam menghantar bantuan makanan ke kawasan DUN Kakus.
“Keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memberikan bantuan makanan ini bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sangatlah dipuji,” katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Tuai Rumah Nelson Chuat yang turut sama membantu mengagihkan bantuan makanan yang disumbangkan Kerajaan Sarawak kepada penduduk di rumah panjangnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GPS kerana telah membantu masyarakat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan terima kasih juga kepada Datuk John Sikie kerana mengatur penghantaran bantuan makanan ini dengan baik termasuk juga projek yang telah diberikan sebelum ini,” katanya.
Hadir sama Pemangku Pegawai Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS