PPV Industri Samalaju Sasar Golongan Pekerja Industri Kawasan Perindustrian Samalaju

AHAD, 13 JUN 2021

BINTULU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri dijangka akan bermula pada minggu depan dan ketika ini masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang, PPV Industri Samalaju menyasarkan golongan pekerja industri di kawasan Perindustrian Samalaju.

“Setakat ini, mereka akan dibekalkan sejumlah 6,000 dos vaksin COVID-19, tetapi angka ini akan berubah sebab dijangkakan akan mencapai 9,000. 

“Kita harap mereka boleh tolong untuk mencapai kapasiti maksima mereka supaya dapat mempercepatkan lagi KPI atau sasaran vaksinasi di Bintulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Restoran Dinner World Bintulu pada Sabtu.

Tambah Dr Melvin, pemberian vaksin ini bukan hanya kepada pekerja tempatan sahaja, sebaliknya turut melibatkan pekerja asing.

Bagaimanapun, mereka ini perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera dengan majikan menyediakan senarai nama pekerja dan memaklumkan kepada pihak MySejahtera untuk tujuan pengaktifan akaun MySejahtera sebelum diberikan temu janji untuk menerima vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0