ISNIN, 14 JUN 2021
DALAT: Pengagihan Bantuan Bekalan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 di Dalat diteruskan pada Ahad kepada 12 buah kampung dalam Daerah Kecil Oya dan Dalat.
Ia selepas simbolik penyampaian yang dilakukan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah pada 9 Jun yang lalu.
Sebanyak 2,013 bakul makanan telah diagihkan dengan proses agihan dibantu petugas dari Pusat Khidmat DUN Dalat dan Pejabat Daerah Dalat.
Bekalan dihantar ke Dewan Serbaguna dan Balairaya setiap kampung dan pengagihannya dilakukan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap kampung ke rumah-rumah penduduk.
Dalam pada itu, masyarakat di Dalat amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak di atas bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terjejas.
Agihan bantuan makanan itu akan diteruskan pada Selasa ini. – EDISI UKAS