250 Penduduk Kampung Raeh Yang Dikuarantin Terima Bantuan Bekalan Makanan

ISNIN, 14 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai kira-kira 250 penduduk dari 40 keluarga di Kampung Raeh Serian yang dikuarantin menerima bantuan bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Ketua Kampung Raeh, Guang Latip dalam responnya menerusi aplikasi WhatsApp mengucapkan terima kasih kepada Rubiah Wang atas keprihatinan pihaknya dalam menghulurkan bantuan segera kepada penduduk-penduduk yang menjalani perintah kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

Selain itu, Rubiah Wang turut menyerahkan sumbangan bantuan bekalan makanan kepada 25 keluarga lagi di Daerah Serian iaitu di Kampung Merang, Kampung Murud, Kampung Plaman, Kampung Jaya Ria dan Kampung Lubuk Ria yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing setelah disyaki menjadi kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19. -EDISI UKAS