ISNIN, 14 JUN 2021
DALAT: Seramai 11,468 orang atau 92.4 peratus penduduk di Daerah Dalat berbanding 12, 412 yang layak telah mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah, kerjasama daripada semua pihak adalah perlu untuk memastikan mereka yang belum mendaftar agar segera mendaftar mendapatkan vaksin.
“Saya diberitahu ada yang masih takut untuk mendaftar nama mendapatkan vaksin.
“Saya berharap kita dapat bekerjasama memastikan mereka ini mendapatkan vaksin dan mereka perlu tahu proses vaksinasi adalah selamat,” katanya.
Bercakap kepada UKAS semasa meninjau proses vaksinasi di Stadium Perpaduan Dalat pada Sabtu, beliau berharap proses pemberian vaksin untuk semua penduduk di Dalat dapat diselesaikan menjelang Ogos nanti.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Dalat, Dr Nor Shahida berkata, program pada Sabtu tersebut melibatkan seramai 560 orang penerima.
Pada program berasingan, Dato Fatimah turut menyampaikan bantuan sebanyak RM10,200 kepada mangsa kebakaran di Kampung Tellian Ulu, Mukah.
Bantuan tersebut termasuk menyediakan bahaan binaan atau sewaan selain bantuan lain.
Kejadian yang memusnahkan kediaman Busang dan keluarga itu belaku pada 10 Jun lepas.
Mereka sekeluarga juga menerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah.-EDISI UKAS