ISNIN, 14 JUN 2021
KAPIT: Proses agihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) kepada semua rumah panjang di kawasan Bukit Mabong akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut Pegawai Daerah Bukit Mabong, Douglas Pungga Lawang, ini kerana kawasan Bukit Mabong sangat mencabar dengan jarak sesetengah lokaliti adalah jauh.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk rumah panjang yang belum menerima bantuan tersebut agar bersabar kerana ia akan diberikan dalam masa terdekat.
Ditemui UKAS semasa proses agihan bantuan itu pada Ahad, beliau berkata terdapat sebanyak 128 buah rumah panjang di kawasan Bukit Mabong.
Dalam pada itu, wakil Pusat Khidmat Hulu Rajang, Kaunselor Manyi Kumbong memberitahu kerja-kerja agihan bantuan makanan kepada semua KIR di kawasan Baleh juga sedang dilaksanakan.
Manakala Tuai Rumah Jantang dari Sungai Tunoh, Bukit Mabong mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing kerana membantu meringankan beban rakyat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .
Sementara itu, KIR dan ketua kaum mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas keprihatinan mereka terhadap keperluan masyarakat ketika mengharungi tempoh sukar ketika ini. – EDISI UKAS