Agihan Peruntukan MRP DUN Kakus Dibuat Mengikut Keutamaan

ISNIN, 14 JUN 2021

TATAU: Setiap tahun peruntukan agihan bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus berjumlah lebih kurang RM3 juta. 

Bagaimanapun, menurut Menteri Muda (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, jumlah ini tidak cukup jika dibandingkan dengan jumlah rumah panjang yang ada di DUN Kakus melebihi 400 buah rumah panjang. 

Justeru, peruntukan ke rumah panjang digilirkan mengikut keutamaan bagi memastikan setiap rumah panjang ada menerima peruntukan MRP. 

“Peruntukkan ini adalah untuk melaksanakan beberapa aktiviti di rumah panjang atau kegunaan yang penting. 

“Ada di kawasan lain, di mana penggunaan peruntukkan MRP tidak dimaklumkan oleh tuai rumah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan disalahguna untuk dirinya sahaja.

“Ini adalah peruntukkan untuk JKKK dan mesti dimaklumkan kepada mereka apabila balik nanti. Dan, maklumkan jumlah yang diterima di dalam mesyuarat  dan bagaimanakah peruntukkan ini akan dibelanjakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyerahan Cek MRP dan Lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Tatau di Pejabat Daerah Tatau pada Ahad. 

Sebanyak 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang di DUN Kakus menerima peruntukan keseluruhan MRP sebanyak RM378,000. 

Dalam pada itu, Datuk John Sikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memberitahu penularan wabak pandemik COVID-19 telah menular ke kawasan pedalaman khususnya di rumah panjang dan masyarakat harus mengambil berat dengan mengambil vaksin COVID-19. 

“Saya minta tolong maklumkan kepada saudara mara kita supaya mendaftar dan mendapat suntikan vaksin COVID-19. Kita di pedalaman tiada telefon bimbit untuk mendaftar. 

“Sekarang Pejabat Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merancang utnuk mengadakan suntikan vaksin bergerak ke kawasan pedalaman. Misalnya, suntikan vaksin bergerak di Rh Ado di Ulu Kakus dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Selepas ini program yang sama akan diadakan di kawasan Nanga Takan, semua 18 tahun ke atas walaupun tidak ada mendaftar,” ujarnya. 

Selepas menyampaikan cek MRP, Datuk John Sikie menghabiskan masa lebih sejam untuk meninjau kelancaran proses vaksinasi yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sukan Tatau.

Dalam lawatan itu, beliau telah berbincang dengan Penyelaras PPV Daerah Tatau mengenai pemberian vaksin bergerak atau ‘Mobile Outreach Team’ di kawasan pedalaman antaranya Rh Bilong, Nanga Takan, Klinik Kesihatan Nanga Tau, Klinik Kesihatan Sangan dan Klinik Kesihatan Kakus. 

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS

Share
0