Kerajaan Kaji Tambah Bilangan PPV Di Bintulu, Tingkatkan Imuniti Kelompok

ISNIN, 14 JUN 2021

BINTULU: Kerajaan kini sedang mengkaji untuk menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Bahagian Bintulu dalam usaha meningkatkan jumlah peratusan penerima vaksin. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penambahan PPV ini akan tertumpu ke kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan kawasan industri sekaligus mencapai matlamat imuniti kelompok menjelang Ogos nanti. 

“Walaupun terdapat beberapa PPV di Bintulu, namun ia masih tidak mencukupi. 

“Kerajaan sedang mengkaji penubuhan PPV tambahan dari pelbagai perspektif, termasuk pengambilan sumber tenaga manusia tambahan dan mengenal pasti tapak yang sesuai, ruang, dan lain-lain untuk mempercepatkan tugas vaksinasi rakyat Bintulu.

Katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Kenyalang UPM Bintulu pada Sabtu. 

Beliau turut menyaran syarikat atau sektor perindustrian dan perusahaan besar untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam program vaksinasi pekerja industri dengan majikan perlu menanggung kos berkaitan.

Dalam perkara berkaitan, Datuk Seri Tiong meminta orang ramai hadir ke PPV mengikut masa janji temu yang ditetapkan dan mengikut arahan petugas bagi mengelak kesesakan dan membolehkan proses vaksinasi berjalan lancar. 

“Ada segelintir pihak telah memotong barisan dengan sampai awal beberapa jam sebelum masa temu janji, tetapi berakhir dengan kecewa sehingga mencetuskan pertelingkahan dengan petugas di PPV. 

“Inilah perbuatan yang tidak kita ingini berlaku dan minta supaya masyarakat patuhi arahan petugas.

“Orang ramai hanya perlu tiba di PPV mengikut masa temu janji dan semua orang berpeluang menerima suntikan vaksin. Tolong jangan potong barisan sehingga mencetuskan suasana  huru-hara,” ujarnya. 

Tidak cukup dengan itu, tegas Datuk Seri Tiong lagi disebabkan kekecewaan itu ada individu mencari gambar lama untuk dipaparkan di media sosial dan menyebarkan khabar angin.

Jika betul gambar dan suasana itu mencerminkan keadaan sebenar dan memberikan nasihat yang membina, pihaknya amat memandang berat kepada isu yang berbangkit ini. 

Dalam tempoh kritikal dalam memerangi wabak ini, pihak berkuasa bertungkus-lumus menjalankan vaksinasi rakyat demi kesihatan semua orang dan berharap orang ramai akan memberi kerjasama menjaga keharmonian masyarakat dan mencapai bersama imuniti kelompok.

Beliau turut meminta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat secara menyeluruh pengguna yang telah menimbulkan situasi panik dengan menghantar paparan media sosial dengan berita yang tidak benar dan palsu. 

Individu sebegini telah menjejaskan keharmonian masyarakat dengan menimbulkan situasi panik di kalangan masyarakat. 

“Bilakah rakyat kita akan mempelajari berdisiplin diri, bekerjasama dan perpaduan?,” soalnya. 

Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung, -EDISI UKAS

Share
0