Kesesakan Di PPV, JPBB Miri Gesa Penerima Vaksin Hadir Ikut Masa Janji Temu

ISNIN, 14 JUN 2021

MIRI: Kekeliruan masa janji temu proses vaksinasi telah menyebabkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Permaisuri Permyjaya pada Ahad.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata kesesakan ini juga disebabkan penerima vaksin COVID-19 datang lebih awal berbanding masa janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera. 

“Pemantauan JPBB Miri pada pagi ini mendapati ada penerima datang ke PPV ini pukul 8.00 pagi ke 9.00 pagi tetapi janji temu menerima vaksin adalah antara jam 11 pagi ke 12 tengah hari. Ini menyebabkan kesesakan. 

“Penerima vaksin diingatkan jangan datang terlalu awal. 

“Sila ikut masa janji temu yang telah ditetapkan dan seeloknya hanya datang ke PPV 15 atau 30 minit lebih awal sudah mencukupi,” katanya semasa ditemui selepas meninjau suasana di PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya pada Ahad. 

Beliau turut mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Miri berbincang dengan pihak berkenaan yang menguruskan aplikasi MySejahtera untuk menyelesaikan masalah berkaitan penetapan janji temu bagi mengelakkan kesesakan orang ramai pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memberitahu pihaknya teah berbincang dengan KKM bagi menambahbaik keadaan di PPV tersebut.

Beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah beberapa kemudahan lain di PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya seperti khemah, kerusi, meja, kipas, papan tanda serta penghadang laluan bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai dan dalam masa yang sama garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 dapat dipatuhi dengan baik dan ketat. 

PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya merupakan antara PPV yang menampung kjumlah apasiti penerima vaksin yang besar sehingga 1,000 orang sehari dan beroperasi dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam selepas PPV Dewan Eastwood yang mempunyai kapasiti 1,400 orang. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri yang juga Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Ketua PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya Dr. Hiew Sing Yee, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tudan Dr. Maurice Steve Utap dan Jurutera JKR Calvin Dawil. -EDISI UKAS

Share
0