ISNIN, 14 JUN 2021
BETONG: Pendekatan mewujudkan Pusat Pemberi Vaksin (PPV) Bergerak penting untuk memudahkan penduduk di luar bandar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu berkata, contohnya penduduk di kawasan Spak tidak perlu ke Betong dengan adanya pembukaan PPV Bergerak di Klinik Kesihatan (KK) Nanga Mujau, Spak.
Bercakap ketika ditemui selepas meninjau PPV Dewan Panglima Rentap dan PPV Bergerak di KK Nanga Mujau pada Ahad, tambahnya, masyarakat di kawasan itu kini telah mempunyai kesedaran untuk menerima vaksin COVID-19 dengan jumlah kehadiran ke PPV bertambah.
Tambahnya juga, program PPV Bergerak akan diteruskan secara bersiri dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan penduduk kawasan pedalaman.
Sementara itu, seramai 100 orang penerima dari rumah panjang Mujau, Luing, Penyuin dan Ijok telah hadir mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 semasa program PPV Bergerak di KK Nanga Mujau.
Di PPV Dewan Panglima Rentap, beliau juga menyempurnakan majlis ringkas penyerahan sumbangan makanan dan minuman daripada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong untuk para petugas di PPV tersebut.-EDISI UKAS