ISNIN, 14 JUN 2021
BINTANGOR: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol menyokong permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing mewujudkan sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Meradong.
Ujarnya, penambahan pusat itu akan dapat mencapai sasaran untuk memberi vaksin kepada 1,000 orang penerima dalam masa sehari.
“Saya menyokong pandangan Datuk Ding untuk sebuah lagi PPV dibuka di Meradong atau di Bintangor agar sasaran 1,000 orang penduduk di sini dapat diberi vaksin dalam masa sehari.
“Selain itu, kami berdua juga menyokong cadangan Ketua Menteri supaya orang ramai mendapatkan vaksin terlebih dahulu dan kemudian didaftarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada UKAS semasa melakukan tinjauan ke PPV Dewan Masyarakat Bintangor pada Isnin.
ADUN Semop itu juga berharap sistem yang terdapat di aplikasi MySejahtera dapat ditambah baik bagi menyelesaikan masalah orang ramai dipanggil mendapatkan vaksin di tempat lain.
“Terdapat sedikit komplikasi atau kekeliruan di mana ada kes seseorang yang tinggal di Kuching tetapi mendapat makluman untuk mendapatkan suntikan vaksin jauh di Belawai, Tanjung Manis.
“Isu ini harus diatasi supaya tidak merumitkan keadaan,” tambahnya.
Terdahulu ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hing berharap sebuah lagi PPV dapat diwujudkan untuk penduduk di daerah Meradong.
“Jika boleh kita berharap untuk menambah jumlah dos vaksin kepada 1,000 dalam masa sehari.
“Jadi saya amat memohon pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah lagi PPV di daerah Meradong,” katanya.
Sementara itu, Abdullah Saidol turut menyumbangkan dua buah kerusi roda untuk kegunaan orang ramai khususnya warga emas yang mendapatkan vaksin COVID-19 di PPV Bintangor.
Pada program itu, seramai 600 orang penduduk daerah Meradong hadir bagi mendapatkan vaksin dos pertama dan kedua.-EDISI UKAS