413 Individu Terima Suntikan Vaksin Menerusi Program Pemberian Vaksin Bergerak Daerah Tatau

SELASA, 15 JUN 2021

TATAU: Seramai 413 individu telah mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Pemberian Vaksin Bergerak Daerah Tatau baru-baru ini.

Program Pemberian Vaksin Bergerak ini merupakan yang pertama di bahagian Bintulu dan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia memudahkan golongan warga emas dengan mereka tidak perlu pergi jauh untuk menerima vaksin.

Mereka yang menerima vaksin tersebut adalah dari kawasan  pedalaman iaitu 19 buah rumah panjang di kawasan Sungai Kakus Ulu.

Dalam pada itu, penerima vaksin tertua Ganya Unau dari Rh Arjey, Nanga Mina Kakus Tatau yang berusia 98 tahun berasa amat gembira setelah menerima vaksin COVID-19.

Beliau juga menyeru orang ramai agar menyahut seruan kerajaan bagi memastikan sebanyak mungkin penduduk di Sarawak menerima vaksin.

Sementara itu,  Tr Robert Nuing dari Nanga Segun, Kakus Tatau juga berpesan kepada masyarakat tempatan untuk tidak takut menerima suntikan vaksin tersebut.

Bagi Tr Arjey anak Kenai dari Nanga Mina, Kakus, Tatau pula, beliau juga senada dengan Robert dan merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Tatau dan petugas hadapan yang menjayakan program pemberian vaksin secara bergerak itu.

Selain itu, Tr Ado Bilong dari Lubok Kubong, Kakus, Tatau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan dengan menyediakan program seumpamanya sekaligus memudahkan rakyat luar bandar menerima vaksin.

Bagi Penghulu Sanok Magai yang juga Ketua Masyarakat Orang Ulu Daerah Tatau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana telah memberi kemudahan memberi vaksin khususnya kepada warga emas yang tidak dapat menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Sukan Tatau. -EDISI UKAS

Share
0