Cek MRP Akan Diserah Terus Ke Rumah Panjang, Tidak Perlu Ke Pusat Khidmat DUN Kakus

SELASA, 15 JUN 2021

TATAU: Tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang yang masih belum menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diminta bersabar. 

Menteri Muda (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, apabila cek ini telah siap akan dimaklum dan diserahkan kepada tuai rumah dan JKKK. 

“Apabila cek MRP ini telah siap, kita akan serahkan kepada tuai rumah dan JKKK di setiap rumah panjang. 

“Tuai rumah dan JKKK tidak perlu datang ke Pusat Khidmat DUN Kakus di Tatau.

“Ini sebagai langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MRP di Rh Kilan, Begeri, Jalan Selangau/Bintulu pada Ahad. 

Sebanyak 11 JKKK rumah panjang dan satu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus menerima cek MRP berjumlah RM126,000. 

Dalam pada itu, Datuk John Sikie yanng juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kakus memberitahu penduduk di rumah panjang perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang lain.

“Hanya dengan mendapatkan suntikan vaksin membolehkan kita menjaga diri, keluarga dan orang lain daripada penularan COVID-19.

“Dalam pada itu, jangan terpengaruh dengan berita tidak benar berkaitan vaksin. Ianya lebih kepada usaha untuk menakutkan masyarakat untuk tidak mengambil vaksin,” ujarnya. 

Sementara itu, Tuai Rumah Kilan dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Datuk John Sikie atas usahanya menyalurkan beberapa projek kepada rumah panjang ini.

“Dalam masa beberapa tahun sahaja, pelbagai projek termasuk projek atap, membina ruai dan projek lain yang telah diberikan bagi keperluan penduduk rumah panjanng ini,” katanya. 

Sementara itu, bagi Tuai Rumah Nelson Chuat pula, menyifatkan ADUN Kakus itu sebagia pemimpin berjiwa rakyat. 

“ADUN Kakus adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan kerap kali turun padang.

“Setiap tahun tidak kurang daripada RM1 juta peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan di kawasan Bawan untuk membuat projek jalan, projek tempat letak kereta dan padang futsal,” katanya. -EDISI UKAS 

Share
0