SELASA, 15 JUN 2021
MUKAH: Orang ramai khususnya di Mukah sekali lagi diseru agar mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui pelbagai kaedah yang disediakan.
Gesaan itu disuarakan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi sambil turut menegaskan vaksin adalah selamat untuk digunakan.
Ditemubual UKAS semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mukah pada Isnin, beliau turut mengambil merakamkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang menyelenggarakan proses vaksinasi di PPB itu.
Sementara itu, Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir yang turut serta dalam tinjauan itu berkata seramai 760 individu menerima suntikan dos pertama dan kedua di Mukah di mana di Klinik Balingian terdapat 120 dos pertama manakala di Dewan Suarah Mukah terdapat 260 dos pertama dan dos kedua sebanyak 380.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah menambah pihaknya mensasarkan hampir 15,000 dos suntikan vaksin diberikan hingga minggu ini dan jumlah itu akan bertambah berdasarkan kapasiti yang ada.
Sementara itu, salah seorang penerima yang ditemui, Jamal Wasli turut menyeru orang ramai untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin. – EDISI UKAS