Datuk Roland Sagah Tinjau PPV Siburan dan Pusat Saringan COVID-19 Bahagian Serian

SELASA, 15 JUN 2021

SERIAN: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Siburan dan Pusat Saringan COVID-19 Bahagian Serian pada Selasa.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat telah menyampaikan sumbangan peribadi sejumlah RM20,000 kepada Pengurus Pusat Saringan COVID- 19 Bahagian Serian, Dr Sharifah Norashikin.

Sumbangan tersebut adalah bertujuan untuk membeli keperluan bagi kegunaan di pusat saringan tersebut yang telah mula beroperasi pada 14 Jun lepas.

Di PPV Siburan pula, Pengurusnya Dr Diana Law memaklumkan seramai 600 penerima vaksin yang disenaraikan berdasarkan temujanji melalui MySejahtera dan secara Hybrid iaitu melalui Ketua Masyarakat/Ketua Kampung (KMKK).

Tambah beliau lagi, pendaftaran melalui MySejahtera menunjukkan peningkatan dan berharap akan meningkat  ke seribu penerima di masa akan datang.

Dalam pada itu, rata-rata semua penerima suntikan vaksin menzahirkan rasa bersyukur dan menyeru agar semua rakyat untuk tidak takut mendapatkan suntikan vaksin. –EDISI UKAS