Kapasiti Penerima Vaksin COVID-19 Di PPV Miri Ditambah

SELASA, 15 JUN 2021

MIRI: Jumlah vaksin di Bahagian Miri telah bertambah dan ini membolehkan kapasiti penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Permaisuri Permyjaya dan PPV Dewan Eastwood Valley ditambah.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, penambahan kapasiti penerima vaksin di kedua-dua PPV tersebut akan meningkatkan jumlah imuniti kelompok penerima vaksin di Miri. 

“Di PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya kita telah memberi vaksin COVID-19 kepada 1,000 orang dalam masa sehari dan waktu operasinya dipanjangkan daripada 8:00 pagi hingga 8:00 malam. Dahulu sehingga jam 5.00 petang sahaja. 

“Di PPV Dewan Eastwood Valley juga kita telah menambah jumlah kapasiti penerima vaksin dengan jumlah 1,400. 

“Pada masa akan datang apabila bilangan vaksinasi telah bertambah kita juga akan menambah pemberian vaksinasi di PPV Dewan Eastwood kepada 2,500,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di kedua-dua PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya dan PPV Dewan Eastwood pada Isnin.

Pada hari yang sama, JPBB Miri yang diketuai Datuk Lee Kim Shin turut melawat dua lokasi PPV yang merupakan hospital swasta iaitu PPV Borneo Medical Centre (BMC) Miri dan PPV Miri City Medical Centre (MCMC) yang memulakan operasi pada Isnin. 

“Hari ini merupakan hari pertama pemberian vaksin COVID-19 di kedua-dua PPV hospital swasta. 

“PPV BMC akan memberi vaksinasi kepada 200 orang dan PPV MCMC pula memberi vaksin kepada 50 orang,” ujarnya. 

Secara keseluruhanya, JPBB Miri telah pun mempertingkatkan keupayaan PPV di Bahagian Miri ini dengan menambah kemudahan di PPV sedia ada di samping menambah baik sistem pengoperasian pusat-pusat vaksinasi kerajaan agar kapasiti pemberian vaksin bertambah sekaligus membolehkan lebih ramai lagi penerima dapat menerima vaksinasi COVID-19 di Bahagian Miri ini. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri  Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri Lt. M. (PA) Azuan Kamin, Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri Chong Chi Fam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Miri Mohamad Afizi Bin Salam. -EDISI UKAS

Share
0