Lebih 1,000 Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Telah Diagihkan Kepada Penduduk di DUN Lambir

SELASA, 15 JUN 2021

SUBIS: Lebih 1,000 bantuan makanan Sarawakku Sayang di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 telah diagihkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, agihan bantuan makanan Sarawakku Sayang ini dibuat secara berperingkat. 

“Pusat Khidmat DUN Lambir telah memulakan pengagihan bantuan makanan  Sarawakku Sayang sejak hari Jumaat lepas dan lebih dari 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) mula menerima bantuan tersebut.

“Proses agihan bantuan makanan secara berperingkat dibuat melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan tuai rumah,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan secara simbolik bantuan makanan Sarawakku Sayang kepada KMKK dan tuai rumah di Pusat Khidmat DUN Lambir pada Ahad. 

Dalam pada itu, Ripin turut memaklumkan agihan bantuan makanan ini akan diteruskan di Taman Delight, Taman Tunku, Miri dan sebagainya. -EDISI UKAS

Share
0