Masalah Internet Di PPV Klinik Kesihatan Kampung Betanak Perlu Diselesaikan

SELASA, 15 JUN 2021

PULAU BRUIT: Masalah capaian internet di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kampung Betanak di Pulau Bruit, Daro akan dibawa kepada pihak berkenaan.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol berkata, masalah ini akan menganggu pendaftaran penerima vaksin COVID-19.

“Beberapa pekara penting yang harus diperbaiki di sini ialah dari segi internetnya yang agak lemah.

“Keadaan begini akan menganggu pendaftaran penerima vaksin.

“Kita akan mengemukakan masalah ini kepada pihak berkenaan,” katanya.

Bercakap kepada UKAS semasa lawatan kerja ke PPV Klinik Kesihatan Kampung Betanak pada Selasa, beliau memohon Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat meminjamkan komputer riba untuk kegunaan klinik tersebut.

“Antara lain yang menjadi cabaran warga kerja di Klinik Kecil Betanak ialah mereka kekurangan peralatan seperti kompeter riba.

“Saya memohon kepada JKKK Kampung Betanak jika ada komputer riba boleh pinjamkan kepada ke klinik ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah turut berharap jumlah vaksin yang dibekalkan kepada semua PPV dapat ditambah bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

“Saya harap pihak berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya dapat menambah jumlah vaksin untuk setiap PPV supaya proses vaksinasi lebih cepat lagi,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, beliau telah dimaklumkan penyelaras PPV di Klinik Betanak, Mohammad Madzihi Musa, 340 dos telah diberikan setakat 15 Jun.

PPV tersebut telah bermula beroperasi pada 7 Jun lepas yang melibatkan 100 dos dan disusuli 14 hingga 16 Jun membabitkan sebanyak 360 dos.

Abdullah turut menyampaikan sumbangan dua unit kerusi roda untuk kegunaan di PPV Klinik Kesihatan Betanak dan berkesempatan menyampaikan insentif kepada Afiqah Bujang dari SMK Semop yang mendapat 5A dalam SPM 2020 dan Haziq Aqilah Abd Rahman di Kampung Penibong yang memperolehi keputusan 7A pada peperiksaan yang sama.

Dalam pada itu, seramai 120 penduduk di Pulau Bruit telah mendapat suntikan vaksin pada Selasa.-EDISI UKAS