SELASA, 15 JUN 2021
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah melakukan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Kuching pada Selasa.
Tinjauan tersebut adalah bagi melihat sendiri operasi vaksinasi di PPV tersebut selepas berlakunya masalah teknikal serta gangguan bekalan elektrik terputus sementara sekaligus menjejaskan proses imunisasi di PPV itu pada Isnin.
Masalah tersebut dilaporkan berpunca daripada kerosakan pendawaian dalaman di satu sub litar di ruang legar stadium tersebut namun berjaya diatasi oleh juruteknik stadium terbabit dan bekalan elektrik kembali pulih.
Sementara itu, tinjauan kru UKAS di PPV itu pada Isnin mendapati penerima vaksin COVID-19 beratur panjang menyebabkan berlakunya kesesakan.
Bagaimanapun rata-rata penerima memberitahu, insiden itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mendapatkan vaksin COVID-19 walaupun terpaksa menunggu lama.-EDISI UKAS