SELASA, 15 JUN 2021
SIBU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 di Dewan Bawang Assan yang merupakan salah satu daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sibu telah bermula pada Sabtu lepas.
Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat selaras dengan pendekatan Kerajaan Sarawak bagi membolehkan masyarakat di luar bandar menerima vaksin dahulu dan kemudian didaftarkan dalam sistem.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee turut turun padang bagi meninjau proses vaksinasi di PPV itu pada Isnin.
Beliau berkata, daripada 43,789 individu berdaftar, sejumlah 19,345 individu telah lengkap menerima dos pertama dan kedua manakala 24,444 telah menerima dos pertama.
Jelasnya, PPV di Sibu juga akan ditambah dan Dewan Suarah dicadangkan sebagai PPV yang baharu.
Dalam pada itu, para penduduk ketika ditemu bual merakamkan perasaan bersyukur dan gembira kerana telah mendapatkan suntikan pertama. –EDISI UKAS