Redah Perjalanan 6 Jam, Lalui Jalan Balak Dan Gravel Hantar Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Di Long Seridan

SELASA, 15 JUN 2021

MIRI: Biarpun terpaksa meredah perjalanan yang mengambil masa selama 6 jam, melalui jalan balak dan gravel tidak menghalang petugas pengagihan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang sampai ke Long Seridan.

Petugas yang diketuai Ketua Wanita PBB Cabang Long Napir Helen Sabin  telah bergerak ke Long Seridan pada tengahari Isnin dengan menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda dan membawa bersama bantuan bekalan makanan. 

Menurut Helen, perjalanan menuju ke Long Seridan memakan masa 5 hingga 6 jam melalui dengan jalan balak dan gravel. 

“Kejayaan untuk sampai ke Long Seridan juga bergantung dengan faktor cuaca. 

“Ini ditambah lagi dengan kondisi jalan yang terputus akibat jambatan runtuh di Sungai Setuan. Ketika ini jambatan tersebut sedang dibaik pulih Syarikat Lee Ling Timber Sdn Bhd.

“Jika hujan, Sungai Setuan tidak dapat dilalui dan mereka terpaksa bermalam. Namun jika cuaca baik dan tiada hujan maka perjalanan mereka akan mudah untuk sampai ke Long Seridan pada petang ini (Isnin),” katanya semasa ditemui sebelum memulakan perjalanan ke Long Seridan pada Isnin. 

Sejumlah 243 bantuan bekalan makanan akan diagihkan kepada penerima yang terdiri kalangan komuniti Penan. 

Long Seridan adalah lokaliti yang terletak di Bahagian Miri dan misi menghantar bantuan bekalan makanan dari Daerah Limbang ke Miri ini atas semangat setiakawan dan komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang untuk membantu memastikan semua penduduk kampung dapat menerima bantuan yang disalurkan Kerajaan Gabungan Pasti Sarawak (GPS) yang prihatin tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan sebagainya.

Kampung yang terlibat ialah Long Seridan Asal, Long Seridan Buyo, Long Balau, Ba Magoh, Ba Tepan, Long Ludin, Ba Tarum, Long Menging, Long Lesuan, Ba Ubong dan Long Meraan. -EDISI UKAS

Share
0