Agihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang Di DUN Balingian

RABU, 16 JUN 2021

BALINGIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menyampaikan 668 pek bantuan makanan Sarawakku Sayang di kawasan DUN Balingian pada Selasa.

Penerima bantuan tersebut adalah merangkumi penduduk di kawasan Mukah iaitu Sungai Ragei, Tutus Hilir, Kampung Sungai Alo, SPS Sungai Alo termasuk penduduk di kawasan Balingian iaitu Kampung Pulat, Kampung Lintang, Kampung Masjid dan Kampung Baru.

Abdul Yakub memberitahu, sejumlah 5555 penerima dijangka menerima bantuan ini dan 70 peratus daripada jumlah itu telah berjaya diagihkan.

“Sebanyak 70 peratus agihan telah dilaksanakan dan menjelang esok (Rabu) kita harap dapat selesaikan semua agihan bekalan bantuan ini bagi DUN Balingian,”katanya.

Terdahulu, sebanyak 648 pek bantuan makanan telah diagihkan kepada penduduk di kawasan sepanjang Jalan Mukah – Selangau iaitu Bukit Ambun, Bayan Ulu dan Temesu.

Dalam pada itu, penduduk setempat merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan wakil rakyat mereka atas keprihatinan menghulurkan bantuan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. –EDISI UKAS