Giliran KIR Di Tellian Terima Bantuan Makanan BKSS

RABU, 16 JUN 2021

MUKAH: Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian boleh menarik lega selepas mula menerima Bantuan Bekalan Makana Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

Menurut ADUN Tellian, Yussibnosh Balo, sejumlah 4973 pek bantuan makanan BKSS sumbangan Kerajaan Sarawak diperuntukkan untuk kawasan DUN berkenaan.

“Di samping itu, kerajaan melalui Bantuan Sarawakku Sayang, telah memberi bantuan berupa food basket untuk penduduk di Sarawak tidak kira luar bandar dan di bandar.

“Tidak ketinggalan di kawasan Tellian, kita telah mengagihkan sebanyak sebanyak 4973 food basket di bawah N57 Tellian termasuk di kawasan Ulu Baoh, Nanga Baoh, Ulu Mukah dan di kawasan Mukah itu sendiri,” katanya kepada UKAS semasa mengagihkan bantuan makanan itu kepada KIR di kawasan Perumahan Taman Mutiara Indah pada Selasa.

Pada masa sama, beliau menyeru kepada penduduk di Tellian untuk tidak ragu-ragu menerima suntikan vaksin yang disediakan oleh kerajaan kerana ia penting bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Sementara itu, wakil penerima, Penghulu Bersiri Keri berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kepayahan dihadapi rakyat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil Perumahan Taman Mutiara Indah, Siri Dani pula berkata sumbangan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung penduduk di situ.

Sebanyak 45 bakul makanan diserahkan kepada penduduk di Perumahan Taman Mutiara Indah. – EDISI UKAS