RABU, 16 JUN 2021
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri komited untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus bagi penduduk di Bahagian Miri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
JPBB Miri dalam kenyataan media pada Selasa berkata, sehingga kini Miri mempunyai 40 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di lima daerah.
Daerah Miri mempunyai 13 PPV termasuk empat PPV Hospital Swasta (PPVHS) yang memberikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer dan Sinovac dan satu PPV dikhususkan untuk vaksin jenis AstraZeneca (PPVAZ) dengan jumlah kapasiti pemberian vaksin sebanyak 7,600 dos sehari.
Daerah Subis pula mempunyai lima PPV dengan kapasiti pemberian vaksin sebanyak 2,600 dos sehari.
Daerah Beluru mempunyai enam PPV yang mempunyai kapasiti 1,800 dos vaksin sehari.
Manakala, Daerah Marudi mempunyai lima PPV boleh memberikan 1,800 dos vaksin sehari dan Daerah Telang Usan mempunyai 11 PPV yang boleh memberikan 2,600 dos vaksin sehari.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti pemberian vaksin Bahagian Miri ialah sekurang-kurangnya 16,400 dos dalam masa sehari.
Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, beberapa buah PPV telah ditingkatkan kapasitinya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Bahagian Miri.
“PPV Dewan Eastwood ditingkatkan kepada 2,500 sehari, PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya juga telah ditambah kemudahan dan menjadikan kapasitinya 1,500 sehari.
“Kesemua PPV tersebut termasuklah PPV Dato’ Lee Teck Fook Stadium, PPV AstraZeneca IKBN Miri yang mempunyai keupayaan sistem dan kapasiti yang besar di samping lima buah klinik kesihatan di pedalaman dan empat PPVHS di Bandaraya Miri yang boleh menampung secara keseluruhannya sehingga 7,600 dos vaksin dalam masa sehari untuk Daerah Miri.
“Selain itu, masa beroperasi bagi PPV Dewan Eastwood dan PPV Dewan Dato Permaisuri Permyjaya sebelum ini dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang telah dilanjutkan iaitu dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam kecuali PPVAZ IKBN yang tamat jam 5:00 petang.
“Mengikut KKM, keupayaan ini sudah mencukupi untuk menampung jumlah vaksin COVID-19 yang akan diterima untuk Bahagian Miri,” katanya.
Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, JPBB Miri juga mempunyai kekangan bagi menambah PPV antaranya ialah kita memerlukan keperluan tambahan sumber manusia perubatan.
“Bahagian Miri telah mengemukakan permohonan keperluan sumber manusia perubatan kepada COVID-19 Immunization Taskforce (CITF) Sarawak iaitu Pegawai Perubatan (10), Pegawai Farmasi (4), Penolong Pegawai Perubatan (6) dan Jururawat (11). Namun setakat ini, hanya seorang (1) Pegawai Perubatan, dua (2) orang Penolong Pegawai Perubatan dan tiga (3) orang Jururawat sahaja telah diterima Bahagian Miri daripada keseluruhan permohonan tersebut,” tambahnya.
Ujarnya lagi, JPBB Miri sedaya-upaya memastikan bahawa orang ramai di Bahagian Miri diberikan vaksin COVID-19 secepat yang mungkin.
“Kita telah melakukan persiapan rapi dengan mewujudkan PPV yang mempunyai kapasiti yang besar.
“Walau bagaimanapun, aktiviti pemberian vaksin COVID-19 di Bahagian Miri adalah tertakluk kepada jumlah vaksin yang akan dihantar ke Bahagian Miri,” katanya.
Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afiz Salam dan Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri Chong Chi Fam. -EDISI UKAS