JPBB Miri Lawat Premis Berpotensi Dijadikan PPV Industri

RABU, 16 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri sebelum ini telah bercadang membuka beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri bagi membolehkan pekerja industri mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Susulan itu, JPBB Miri yang diketuai Menteri bertanggungjawab Datuk Lee Kim Shin telah mengadakan lawatan ke beberapa premis yang berpotensi untuk dijadikan sebagai PPV Industri di Bandaraya Miri seperti yang dicadangkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Selasa. 

Antara premis yang dilawati ialah Pusat Membeli Belah Boulevard, Emart Tudan dan Emart Riam. 

Mereka meninjau ruang dan kemudahan yang ada di setiap premis yang dilawati dan mendapatkan pandangan serta cadangan bagi membolehkan premis ini menepati piawaian yang ditetapkan untuk mewujudkan PPV Industri. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pegawai Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Bahagian Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Penyelaras PPV Miri Dr. Noor Izni dan Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morshidi Fredrick. -EDISI UKAS

Share
0