Operasi Pos Sempadan Diteruskan Hingga Akhir Tahun Ini

RABU, 16 JUN 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing telah mempengerusikan mesyuarat bagi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, perluasan operasi Pos Sempadan akan berterusan hingga akhir tahun 2021 untuk mengawal dan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sarawak.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak itu menambah, jumlah PATI yang memasuki Sarawak kian membimbangkan walaupun operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) semakin giat dijalankan di seluruh bahagian negeri ini.

“Kita perlu mencari jalan penyelesaian membendung masalah PATI yang masuk ke Sarawak dan yang lebih membimbangkan adalah sebilangan besar PATI ini adalah kesalahan berulang.

“Mereka memasuki Sarawak melalui banyak jalan tikus di sepanjang sempadan kita.

“Pesalah yang sama akan terus melintasi sempadan kita melainkan jika kita dapat menjaga atau menutup sepenuhnya jalan tikus tersebut.” tegas beliau dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Sarawak, Datu Ken Leben berkata, dari Januari hingga 15 Jun 2021 sebanyak 292 operasi telah dilakukan oleh pihaknya termasuk 29 dengan kerjasama pihak berkuasa yang lain.

“Seramai 1,169 PATI ditahan dalam operasi ini atas pelbagai kesalahan termasuk kemasukan haram termasuk menginap melebihi had manakala pada tahun 2021 sejumlah sembilan majikan dan lapan tekong juga telah dikenakan tindakan,”jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Tan Sri James mengucapkan tahniah atas pelantikan DCP Mancha Ata sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu berkuatkuasa 11 Jun lepas.

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Timbalan Pesuruhjaya , Dato’ Faisol Salleh yang dipindahkan ke Pulau Pinang baru-baru ini. –EDISI UKAS

Share
0