RABU, 16 JUN 2021
KAPIT: Misi pemberian vaksin Covid-19 secara bergerak di kawasan pedalaman sekitar Bahagian Kapit terus dipergiatkan oleh dua pasukan petugas pada Selasa.
Pasukan pertama telah melaksanakan pemberian vaskin dos pertama di Klinik Kesihatan Nanga Tekalit melibatkan rumah panjang kawasan Tekalit Hulu.
Sebanyak 261 dos vaksin Sinovac diberikan kepada penerima vaksin yang hadir pada program itu.
Program di Klinik Kesihatan Nanga Tekalit akan diteruskan hingga Khamis, 17 Jun 2021 yang melibatkan kawasan Sungai Tekalit, Sungai Musah dan kawasan Katibas Tengah.
Sementara itu, pasukan kedua melakukan pemberian sebanyak 80 dos pertama vaksin Sinovac di Klinik Kesihatan Daerah Song melibatkan Penduduk Rumah Jamba Nanga Seantu dan Rumah Lebak Nanga Iran.
Program vaksinasi di Klinik Kesihatan Daerah Song akan diteruskan ke kawasan Batang Rejang Hilir dan Sungai Iran.
Penerima vaksin dalam pada itu disarankan agar kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun sudah lengkap menerima dos vaksin. – EDISI UKAS