PPV Dato’ Lee Teck Fook Stadium Ganti PPV Hospital Miri

RABU, 16 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu iaitu PPV Dato’ Lee Teck Fook Stadium di Riam Road Secondary School (RRSS) pada Selasa. 

Menurut Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu, pembukaan PPV Dato’ Lee Teck Fook Stadium adalah bagi memindahkan operasi PPV Hospital Miri yang kini sudah tidak mampu menampung permintaan vaksin yang tinggi dan mempunyai ruang menunggu yang terhad dan tiada tempat letak kereta.

“PPV ini mempunyai kapasiti 1,500 dos sehari. Namun, buat permulaan pada minggu ini, PPV Dato’ Lee Teck Fook Stadium akan beroperasi bermula pada 17 Jun 2021. 

“Penerima vaksin yang tiba boleh meletakkan kenderaan mereka di ruang letak kereta di luar kawasan sekolah. 

“Manakala, bagi penerima yang berkerusi roda atau mempunyai kelainan upaya dibenarkan untuk masuk terus menuju ke pintu utama PPV yang telah disediakan khas,” katanya.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afiz Salam dan Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri Chong Chi Fam. -EDISI UKAS

Share
0