Proses Vaksinasi COVID-19 Di PPV Press Metal Bermula Hari Ini, PPV Industri Kedua Dicadangkan

RABU, 16 JUN 2021

BINTULU: Sepanjang simulasi atau ‘dry run’ yang telah dilaksanakan sebelum ini, dijangka  perjalanan proses vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri berjalan lancar. 

Menurut Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, dianggarkan 6,000 pekerja industri akan mula mendapatkan vaksin pada 16 Jun ini dengan anggaran 1,000 dos sehari dan akan mengambil masa selama 8 hingga 9 hari. 

“Berdasarkan pada ‘dry run’ ini, kita nampak bahawa persiapan berjalan dengan lancar dan bersedia untuk melaksanakan pemberian Vaksinasi di Press Metal ini. 

“PPV Industri ini merupakan yang pertama di Bintulu,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di PPV Press Metal pada Selasa. 

Dalam perkembangan sama Jack yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu menambah, sebuah lagi PPV Industri akan diwujudkan di Kelab Kidurong Bintulu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 di bahagian Bintulu. 

“Kita masih dalam peringkat perbincangan dengan Kelab Kidurong dengan PPV Industri kedua ini akan dikhaskan kepada pekerja sektor industri minyak dan gas yang terdiri daripada Petronas dan anak-anak syarikatnya termasuk Shell serta syarikat kontraktor yang dianggarkan hampir 10,000 orang,” tambahnya. 

Bagaimanapun, PPV Industri kedua ini masih di peringkat perbincangan antara JPBB Bintulu dan Petronas.

Hadir sama Pegawai Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Stephen Mundaw, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak Sophian Isswandy Ismail, Pegawai Daerah Bintulu Mohammad Dino Ahmid dan Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkifli Suhaili. -EDISI UKAS

Share
0